Lotuss Stores Malaysia Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) melancarkan cawangan perdana yang kedua, Lotus’s Penang E-Gate, Jelutong, Pulau Pinang dan ketiga, Lotus’s Desa Tebrau, Johor pada Khamis.
Presidennya, Kenneth Chuah berkata, Lotus’s Penang E-Gate kini akan menerajui di wilayah utara operasi syarikat tersebut manakala Lotus’s Desa Tebrau akan mengambil peranan yang sama di wilayah selatan.
Menurutnya, fungsi utama cawangan perdana adalah untuk memperkenalkan jenama Lotus’s kepada para pelanggan di mana setiap cawangan telah diubahsuai sepenuhnya dengan warna hijau dan kuning.
“Warna ini menandakan arah dinamik yang ingin diambil oleh Lotus’s, pembungkusan baharu barangan berjenama Lotus’s dan penambahan variasi makanan sedia untuk dimakan daripada syarikat CP Foods,” katanya pada sidang akhbar Majlis Pelancaran Pembukaan Cawangan Lotus’s Malaysia yang kedua dan ketiga secara maya.
Turut hadir, Pengarah Eksekutif Perkhidmatan Korporat, Azliza Azmel, Ketua Pegawai Operasi, Sushmita Paul dan Pengarah Eksekutif Pelanggan, Vivian Yap.
Kenneth berkata, Lotus’s akan terus menjenamakan semula cawangan-cawangan yang sedia ada kepada Lotus’s, dan akan menambah beberapa cawangan baharu menjelang akhir tahun ini.
Selain itu, beliau berkata, Lotus’s akan berusaha untuk memperluaskan lagi sistem dalam talian (online) pada masa akan datang.
“Untuk online, kami akan melihat kepada permintaan. Kami akan memperbaiki laman sesawang dengan sebaiknya.
“Kami merancang untuk mengadakan kolaboratif dengan pihak ketiga untuk meningkatkan lagi kualiti perkhidmaan dan barangan kepada pelanggan,” katanya.
Menurut Kenneth, Lotus’s juga melancarkan inisiatif untuk menghentikan pemberian dan penjualan beg plastik sekali guna di kaunter pembayaran di setiap cawangan Lotus’s.
“Inisiatif ini selari dengan Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030 yang diumumkan oleh kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, dengan slogan ‘Bawa Pulang Perubahan’ atau ‘Bring Home Change’, Lotus’s menunjukkan bahawa sesuatu tindakan yang minimal seperti membawa beg guna semula semasa membeli-belah boleh memberikan kesan lestari yang besar kepada alam sekitar.
“Inisiatif ini telah bermula di Lotus’s Penang E-Gate pada 15 Jun 2021, diikuti dengan Lotus’s Desa Tebrau pada Khamis dan seterusnya di 60 cawangan Lotus’s yang lain bermula 1 Julai 2021.
“Cawangan Lotus Penang’s E-Gate dipilih untuk menjadi titik permulaan inisiatif ini sebagai pengiktirafan kepada negeri Pulau Pinang yang amat progresif dalam usahanya untuk menghentikan beg plastik sekali guna secara berkala seawal tahun 2009.
“Tindakan ini secara tidak langsung telah membantu untuk mempercepatkan usaha kelestarian alam sekitar di negara ini,” ujarnya.
Beliau berkata, usaha untuk menghentikan pemberian dan penjualan beg plastik sekali guna disambut baik oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Kon Yeow yang tidak dapat hadir semasa majlis maya tersebut telah mengulas dalam kenyataan mengenai inisiatif Lotus’s: “Dalam usaha berterusan kami untuk mencapai masa depan yang lestari untuk semua, kita memerlukan peneraju dalam industri runcit untuk dicontohi. Lotus’s dengan rangkaian 62 cawangan di seluruh negara, adalah peruncit terbesar di negara ini untuk memulakan inisiatif ini dan kami berharap peruncit lain, besar atau kecil, akan turut serta dan membuat perubahan seperti Lotus’s,” katanya.
Mengulas lanjut, Kenneth berkata, pihaknya juga sedang menilai semula pembungkusan barangan berjenama Lotus’s supaya ia lebih mesra alam.
Tambahnya, selain memainkan peranan dalam menyelamatkan alam sekitar, pelanggan yang menggunakan beg guna semula mereka sendiri akan memperolehi lapan mata ganjaran Clubcard untuk setiap beg.
“Mata ganjaran yang terkumpul ini kemudiannya boleh ditukar kepada baucar tunai yang dapat digunakan untuk perbelanjaan di mana-mana cawangan Lotus’s.
“Pelanggan boleh membawa beg mereka sendiri atau membeli beg guna semula Lotus’s yang terdapat dalam empat variasi dengan harga antara 50 sen hingga RM9.90,” katanya.
If you’re a member of the press and would like to reach out to us for coverage, interviews, or other opportunities, please reach out to our media team at [email protected]